Semoga Allah Beri Pahala Sedekah Pada Orang Yang Klik Iklan Dibawah, Amin..

Saturday, July 2, 2011

Perdana Menteri & Isteri Lawat Kelantan Hari Ini

KOTA BAHARU – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Kelantan dalam lawatan kerja sehari ke negeri itu.

Najib dan isteri yang menaiki pesawat khas tiba di Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu pada 9.40 pagi dengan disambut oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, beberapa pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) dan ketua-ketua jabatan persekutuan.

Lawatan Perdana Menteri kali ini untuk menghadiri beberapa program bersama rakyat membabitkan daerah Pasir Puteh, Machang dan Kota Baharu.

Beliau akan memulakan program pertamanya dengan mengadakan perjumpaan bersama jawatankuasa penyelaras Barisan Nasional Kelantan di Pejabat Umno Bahagian Pasir Puteh sebelum membuat ‘tinjauan mesra’ di Stesen Kereta Sewa dan Pasar Besar Pasir Puteh.

Perdana Menteri akan merasmikan majlis perhimpunan bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Sri Aman, Kampung Tok Nik, Pasir Puteh sebelum menunaikan solat Zohor di Masjid Kampung Pulau Lima di Pasir Puteh.

Perdana Menteri kemudian ke daerah Machang bagi menghadiri Program Jiwa Murni disusuli majlis Perjumpaan Bersama Rakyat dan penyokong pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors, di Sekolah Kebangsaan Machang 1, Machang.

Najib juga dijadualkan menghadiri majlis perjumpaan dengan rakan-rakan Facebook di Hotel Renaissance di sini selepas itu.

Rosmah pula mempunyai acara berasingan dengan menghadiri program ‘Apa Khabar Anak Permata’ di Pusat Anak Permata Negara Parlimen Bachok dan program minum petang bersama pertubuhan-pertubuhan wanita di Hotel Grand Riverview di Kota Baharu.

Pada sebelah malam, Najib dan Rosmah akan menghadiri Jamuan Rakyat 1Malaysia di Wisma Persekutuan di sini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur yang dijadual pada 10.55 malam. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Sahabat Iju..