Semoga Allah Beri Pahala Sedekah Pada Orang Yang Klik Iklan Dibawah, Amin..
Tuesday, July 26, 2011
Jimmy Shenley Tidak Akan Ceraikan Isteri
SAAT BAHAGIA...Jimmy dan Nursuhaila ketika majlis perkahwinan mereka tahun lalu
KESABARAN Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25, terhadap sikap suami yang juga pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 31, sudah sampai ke penghujung.
Ia hilang apabila Jimmy menghebahkan dalam media kononnya majlis cukur jambul anak mereka dibatalkan sekali gus turut menimbulkan kemarahan bapa isterinya yang juga ahli perniagaan, Datuk Suhaimy Othman.
Pasangan itu berkahwin pada 1 Oktober 2010, namun selepas 20 hari bernikah, mereka tinggal berasingan dan pelbagai berita timbul sehinggalah kes dibawa ke mahkamah apabila Jimmy memfailkan tuntutan kembali taat, pada 3 Januari lalu.
Ikuti luahan Nursuhaila menerusi video dan kenyataan balas Jimmy yang masih berkeras enggan melepaskan isterinya.
APA KATA NURSUHAILA
SAYA tidak akan kembali semula kepada Jimmy walaupun dia sudah berubah. Tetapi, saya maafkan kesalahan dia.
Saya tetap mahu menuntut cerai dan mendapatkan hak penjagaan anak berusia 32 hari walaupun sebelum ini Jimmy mendakwa akan menarik balik kes nusyuz terhadap saya.
Saya bercakap pada sidang media yang diadakan ini (semalam) untuk menjawab segala kontroversi hubungan kami, termasuk yang terbaru membabitkan majlis cukur jambul bayi kami.
Saya sudah tidak tahan dengan sikap Jimmy yang meraih simpati mengenai krisis rumah tangga kami di media.
Bagi saya, dia tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa dengan baik. Dia hanya memberikan wang nafkah kepada saya ketika saya mengandung, itupun hanya RM300 sebulan dan tidak cukup untuk menampung ubat dan pemeriksaan lain.
Selain itu, antara faktor lain saya enggan kembali kepada Jimmy ialah kerana dia sering memukul dan menampar pipi saya hanya kerana pergaduhan kecil.
Malah, sebelum malam perkahwinan pun saya ditampar apabila meminta izin untuk keluar berjumpa rakan.
Selain itu, saya turut dikasari ketika berbulan madu di Koh Samui, Thailand, hanya kerana pergaduhan kecil.
Tapi, saya mengakui saya seorang yang bersifat kasar dan sudah menjelaskan kepada Jimmy sebelum berkahwin tetapi dia sudi menerima saya seadanya.
Bagaimanapun, tindakan Jimmy mengasari saya menyebabkan saya tidak mampu bertahan, apalagi apabila saya dikongkong dan disuruh tidur jam 9 malam dan tidak boleh melayari laman sembang sosial.
APA KATA JIMMY
SAYA tidak akan sewenang-wenang menceraikan dia kerana apa yang saya lakukan selama ini adalah tanggung jawab sebagai suami dan talak terletak di tangan lelaki.
Sebagai isteri, Nursuhaila harus patuh pada perintah dan arahan saya dan jika ingkar, dia tidak akan mencium bau syurga.
Selepas berkahwin apa yang saya harapkan ialah selepas seharian penat bekerja, dapat meluangkan masa bersama isteri dan mahu diberikan layanan sebaiknya dari seorang wanita bergelar isteri.
Tanpa alasan munasabah, saya tidak akan sesekali menceraikan isteri saya dan sekiranya saya gagal dalam prosiding mahkamah pada kali ini, saya akan berusaha mendapatkan hak penjagaan anak.
Saya mengakui tidak membenarkan dia menemui rakan sebelum malam perkahwinan dan meminta Nursuhaila hanya berehat di rumah, namun dia tetap berdegil.
Tindakannya ingin bertemu rakan menyebabkan saya hilang kawalan dan menamparnya.
Begitu juga sewaktu di Koh Samui tetapi selepas itu saya tidak melakukannya lagi. Saya juga berjanji untuk menjaganya selepas kahwin dan dia juga pernah berjanji kepada saya untuk berubah.
Selain itu, saya berpendapat, ibu bapa seharusnya tidak campur tangan dalam masalah rumah tangga anak-anak kerana campur tangan itu akan menyebabkan keadaan semakin tegang.
Saya cuba berkomunikasi secara baik dengan Nursuhaila, malangnya dia hanya berdiam diri dan tidak mahu menjawab SMS atau panggilan telefon.
Saya cuba bertanya kepada ibu keadaannya dan memberitahu ibunya bahawa saya cuba berbincang mengenai masalah yang dihadapi, itu saja.- myMetro
Kesian pada Baby Zahrah ini semoga dia tidak menjadi mangsa di atas apa yang terjadi.
Sedikit nasihat kepada mereka yang bergelar suami dan isteri orang..
Dalam berumahtangga amat penting bagi seorang lelaki mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental sebelum melangkah ke alam perkahwinan.. Apabila Kapten kapal langsung tidak tahu bagaimana hendak mengemudi kapal atau hanya ada sedikit pengetahuan, tentulah kapal tersebut akan karam sebelum belayar. Isteri adalah insan yang lemah hendaklah dicurah kasih sayang padanya bukan untuk dikasari sesuka hati... sabar dengan perangai isteri pahala besar buat suami...
Firman Allah bermaksud: "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci kepada mereka (kerana tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu." (Surah an-Nisa, ayat 19).
Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: "Mana-mana lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Ayyub kerana bersabar di atas bala yang menimpanya. Dan mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun."
Di sini, elok juga jika direnungi kisah seorang lelaki yang mengunjungi Umar bin Khattab untuk mengadu mengenai perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu menunggu Umar keluar. Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya, sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun. Lelaki itu beredar sambil berkata kepada dirinya sendiri:
"Kalau beginilah keadaan Umar, seorang Amirulmukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku?"
Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya. Lelaki itu berkata:
"Wahai Amirulmukminin, aku datang untuk mengadu mengenai perangai isteriku yang buruk dan suka berleter kepadaku. Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku: Kalau begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?"
Umar berkata kepadanya:
"Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atas aku. Sesungguhnya dia memasak makanan aku, mengadun roti untuk aku, membasuh pakaian aku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya."
Lelaki itu menjawab:
"Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku."
Umar pun berkata kepadanya:
"Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya itu tidak lama, hanya seketika saja."
Bagi seorang wanita pula apabila telah melangkah ke alam perkahwinan hendaklah mempersiapkan diri untuk menjadi isteri yang baik dan menurut kata - kata suami kerana Syurga seorang isteri terletak di bawah tapak kaki seorang suami.
Dalam kehidupan suami isteri hendaklah di liputi dengan kasih sayang, belas kasihan, tawa dan riang dan mengikut Al-Quran dan As-Sunnah barulah rumahtangga akan aman bahagia.
apa-apa pun kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk mereka, kerana setiap masalah ada jalan penyelesaiannya
Labels:
Umum
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment