Semoga Allah Beri Pahala Sedekah Pada Orang Yang Klik Iklan Dibawah, Amin..

Wednesday, August 24, 2011

6 Maut, 5 Parah Dipanah Petir Di Rawang

Photobucket

SHAH ALAM 22 Ogos - Enam warga Indonesia maut manakala lima lagi parah dipanah petir dalam dua kejadian berasingan di tapak pembinaan projek perumahan elit berhampiran Jalan Rektor, Persiaran Kerjaya, Glenmarie di sini dan kebun sayur di Sungai Choh, Rawang, Selangor, hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku di Glenmarie ketika hujan lebat pada pukul 2.40 petang ini, tiga pekerja binaan maut dan tiga lagi parah.

Mereka yang maut dikenali sebagai Mohd. Nasir, 40, Hazarin, 29, dan Surady, 31, sementara mangsa yang parah ialah Som, 20, (isteri Surady), Dasyir, 28, dan Rosi, 25.

Difahamkan, tiga mangsa yang maut sedang berteduh sambil berdiri di bawah bumbung rumah kongsi yang dinaiki air setinggi buku lali manakala tiga yang cedera berada di dalam rumah.

Apabila petir menyambar di kawasan tapak pembinaan yang berair dan rumah kongsi berhampiran, tiga mangsa yang berdiri di dalam air terkena renjatan lalu rebah dan meninggal dunia sementara yang berada di dalam rumah pengsan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, kesemua mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

"Kesemua mangsa mempunyai pasport dan kami sedang berurusan dengan majikan mereka untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Pengarah Kumpulan Bahagian Hartanah, Aset dan Pembangunan Glenmarie Properties, Siti Mariam Mohd. Desa berkata, berikutan insiden itu, pihaknya mengarahkan kerja di tapak pembinaan dihentikan sementara.

Dalam kejadian di Rawang pada pukul 2.45 petang pula, tiga pekebun maut manakala dua lagi cedera apabila terkena panahan petir ketika ingin mencari tempat berlindung.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kesemua mangsa berusia antara 28 hingga 40 tahun.

"Tiga mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat manakala dua lagi yang cedera dikejarkan ke Klinik Kesihatan Rawang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

No comments:

Post a Comment

Sahabat Iju..